Rakan Media Sebagai Tunjang Naratif Baharu Pelancongan Negeri
IPOH—Acara “Cintaku Di Negeri Perak” anjuran Tourism Perak memperlihat satu keterbukaan baharu apabila agensi pelancongan negeri dan barisan kepimpinan negeri duduk bersemuka bersama pengamal media. Majlis ringkas ini menterjemahkan kesedaran bahawa promosi pelancongan hari ini memerlukan pendekatan segar yang dipimpin oleh penceritaan naratif berkesan, pemanfaatan teknologi, serta penglibatan aktif media tempatan. Sebagai pengamal media di negeri ini, kami mengalu-alukan langkah strategik ini dan bersedia memainkan peranan aktif, termasuk menyokong pelancaran dua pertandingan utama pelancongan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Tuan Suhaimi, mendedahkan bahawa peranan media adalah mencetuskan rasa mahu melancong dalam kalangan masyarakat, terutamanya menerusi paparan makanan tempatan dan keunikan kecil yang memikat hati. Menyedari kandungan terbitan Tourism Perak kini memerlukan sokongan yang lebih luas, jangkaan pelancong masa kini bertumpu kepada kandungan jana pengguna (User-Generated Content UGC) yang terhasil daripada perspektif pelancong itu sendiri. Maklumat kini dicapai secara langsung menerusi kandungan digital, termasuk penyampaian iklan yang diselitkan secara halus di sebalik mini drama dan sketsa. Beliau turut menegaskan kepentingan memanfaatkan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) untuk memproses pelbagai variasi kandungan berpunca daripada satu sesi penggambaran sahaja, di samping membantu mengatasi benteng bahasa bagi pelancong antarabangsa.
Sementara itu, EXCO Kerajaan Negeri Perak Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pelaburan, Industri, dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, YB Loh Sze Yee, menegaskan bahawa Tourism Perak hadir untuk menyokong media menjalankan peranan sebenar mereka secara berkesan. Zaman di mana pihak kerajaan mengetahui segala-galanya telah berlalu, dan promosi pelancongan kini menuntut jalinan kerjasama dua hala tanpa diikat oleh protokol tegar. Beliau menyuarakan pandangan secara berterus terang demi kebaikan negeri Perak, sambil menyentuh realiti dinamika media yang bergerak atas faktor bekalan dan permintaan (supply and demand) untuk mengimbangi jumlah tontonan dan ekonomi. Beliau mengiktiraf bahawa pihak media mempunyai kebijaksanaan tersendiri serta memegang kuasa besar untuk memartabatkan imej Perak dan Malaysia. Justeru, media diseru untuk mengimbangi pelaporan berita dan memahami asas promosi mengikut trend semasa.
Perspektif akademik diperkukuhkan lagi oleh Profesor Madya Dr. Fauziah Che Leh daripada Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI, yang menjelaskan evolusi maklumat yang berpindah daripada fasa kawalan kepada fasa kelajuan, di mana setiap individu kini bertindak sebagai penerima dan penyebar maklumat secara serentak. Ruang ini menjadi medan pembentukan persepsi, medan perdebatan, sekali gus mekanisme yang menentukan nasib pelancongan. Memandangkan satu hantaran mampu mencetuskan jutaan tafsiran, beliau menyeru agar media kekal beretika dalam membentuk pandangan, membuka ruang suara, menggerakkan tindakan, dan mencetuskan kesedaran. Beliau turut menyentuh kelebihan aset Perak, termasuk bilangan kolam air panas tertinggi, keindahan pesisir pantai, Pulau Pangkor sebagai mutiara negeri, serta Bandar Diraja dan rangkaian muzium, yang perlu dipromosikan secara tepat.
Sebagai wadah tindakan bagi merealisasikan pandangan dan hala tuju baharu ini, Tourism Perak secara rasminya melancarkan dua pertandingan utama bagi mencungkil bakat kreatif serta merancakkan promosi pelancongan negeri menerusi pelbagai sudut pandang: Pertandingan Artikel Bergambar Paling Kreatif menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM4,000, manakala Video Paling Kreatif menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM9,000.
Peluang ini terbuka luas kepada para pengamal media, pencipta kandungan, dan orang ramai untuk menzahirkan keunikan Perak, keindahan alam semula jadi, kekayaan kulinari, dan suasana nostalgia yang autentik. Maklumat lengkap mengenai syarat penyertaan dan borang pendaftaran boleh didapati menerusi saluran rasmi sosial media dan laman web Tourism Perak.
Langkah Tourism Perak bersama kepimpinan negeri dan pakar akademik dalam membina upaya media tempatan merupakan satu permulaan yang amat positif. Bersama-sama menerusi pena dan lensa media, keunikan Perak sedia diangkat ke persada yang lebih tinggi.